Monday, October 3, 2016

1.3 Menerangkan amalan kebersihan di ruang kerja dan penyediaan makanan.

MEMAHAMI KEPENTINGAN KEBERSIHAN DAN KESELAMATAN MAKANAN

Apakah maksud keselamatan makanan?
Keselamatan makanan bermaksud makanan itu bersih daripada kuman berbahaya, racun, toksin dan bersih daripada najis dan bahan buangan yang lain.

Mengapa makanan kita mesti bersih?
Makanan yang tidak bersih boleh mengandungi bahan-bahan berbahaya atau bakteria yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan seperti taun, tifoid, keracunan makanan, penyakit kuning (Hepatitis A) dan lain-lain.

Apakah perkara-perkara asas yang perlu diutamakan untuk memastikan makanan yang bersih?
a ) Kebersihan bahan mentah.
b ) Pengendalian makanan yang bersih.
c ) Kebersihan diri pengendali makanan.
d ) Keperluan kesihatan asas yang mencukupi.
e ) Premis makanan yang mempunyai persekitaran yang bersih.
f ) Rekabentuk premis makanan dan peralatan yang sesuai.
g ) Penyediaan dan penyimpanan makanan yang betul.

APAKAH ASPEK KEBERSIHAN DALAM PENGENDALIAN MAKANAN?

Aspek kebersihan dalam pengendalian makanan merangkumi:
a ) Pengendali makanan.
b ) Bahan mentah.
c ) Peralatan yang digunakan.
d ) Persekitaran seperti dapur dan tempat menyediakan makanan.

Siapakah itu pengendali makanan?
Pengendali makanan adalah semua orang yang terlibat dengan penyediaan makanan daripada mula hinggalah makanan itu diambil atau dimakan. Ia adalah mana-mana individu yang terlibat dalam penyediaan, penyajian dan juga penjualan makanan.

Bagaimanakah kita memastikan makanan yang disediakan adalah bersih dan selamat?
Salah satu langkah bagi memastikan makanan yang disediakan adalah bersih dan selamat adalah dengan menjaga kebersihan diri dan mengamalkan amalan kebersihan yang perlu semasa mengendalikan makanan.

AMALAN KEBERSIHAN DIRI

Amalan kebersihan yang perlu diamalkan semasa mengendali makanan:
Basuh tangan sebelum dan selepas mengendali makanan. Basuhlah tangan dengan sabun selalu. Tangan adalah anggota badan yang kerap bersentuh dengan makanan.
Oleh itu, ia perlu dibersihkan setiap kali sebelum memulakan kerja-kerja penyediaan makanan atau selepas:
i ) Ke tandas.
ii ) Menyentuh muka terutamanya hidung, mulut atau telinga.
iii ) Mengendalikan makanan mentah.
iv ) Mengendalikan sampah sarap.
v ) Rehat atau setiap kali kembali ke tempat penyediaan.
vi ) Membersih dan disinfeksi tempat kerja.

Semua tempat penyediaan makanan harus mempunyai sinki khas untuk membasuh tangan dan dibekalkan dengan sabun, air paip dan tisu yang bersih. (Penggunaan sabun cecair amat digalakkan kerana mungkin sabun buku mengandungi kuman daripada penggunaan sebelumnya).

Amalkan tujuh langkah membasuh tangan yang betul:
1 ) Basuh tangan dengan sabun secukupnya.
2 ) Gosok tapak tangan.
3 ) Gosok setiap jari dan celah jari.
4 ) Gosok kuku di tapak tangan.
5 ) Gosok belakang tangan.
6 ) Basuh dengan air bersih secukupnya.

7 ) Keringkan tangan dengan kain bersih.

Sumber:
www.infosihat.gov.my

1 comment: